Niat, Visi dan Objektif.
” Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : – ‘ Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sudah pastinya hadith berkenaan niat begitu sering diulang di dalam sebarang program pengisian, seminar, diskusi mahu pun usrah.
Semua sudah pasti tahu dan hafal intipati hadith pertama dari susunan hadith 40 susunan Imam Nawawi.
Pada kali ini ingin saya kupaskan bagaimana menghayati definisi niat ini dalam aspek yang lebih 'operational' . 'Operational' dalam erti kata yang lain ialah gerak kerja. Sebagai Mahasiswa, disamping kelas dan khursus pengajian, kita juga tidak dapat lari dari program. Tidak kiralah apa jua program sekali pun, kita akan terlibat jua sama ada sebagai peserta mahupun sebagai ahli jawatankuasa.
Niat dalam definisi yang mudah bermaksud, keinginan, hasrat atau harapan yang lahir dari hati sebelum kita melakukan sesuatu perkara. Seperti contoh apabila seseorang berniat ingin solat, dia melakukan solat itu dengan hasrat melaksanakan kewajipan solat, dia juga berharap agar solatnya diterima. Begitu juga apabila kita menjadi seorang ahli jawatankuasa sesebuah program, haruslah kita memasang niat yang tertentu, boleh jadi kita mahu menambah pengalaman dan ilmu pengurusan, boleh jadi kita ingin melatih diri, atau kerana kita ingin menyelesaikan sebuah masalah yang cuba diselesaikan melalui program itu.
Antara komponen penting yang harus datang dengan niat adalah dengan kehadiran hati. Namun saya tidak mahu mengupas panjang lebar akan elemen kehadiran hati dari aspek spiritual, sebaliknya saya ingin mengupas bagaimana kita dapat menghadirkan hati dari aspek yang lebih bersifat gerak kerja. Ada dua perkara asas dalam sesuatu niat, iaitu visi yang jelas dan objektif yang 'SMART'
Memiliki Visi Yang Jelas
1. Visi boleh membawa maksud arah tujuan, matlamat, atau cita-cita. Dalam memaknai sesebuah niat haruslah kita memahami visi yang terkandung di dalam niat itu. Bermakna sebelum kita melakukan sesuatu perkara haruslah kita mempunyai visi yang jelas, tahu apa yang ingin dicapai. Ingin saya berikan dua analogi mudah untuk menjelaskan apa yang saya maksudkan.
Apakah visi yang yang ditanam apabila kita bersolat? Mudah bukan, sudah semestinya kita bersolat untuk menunaikan kewajipan, sekaligus medapat keredhaan Allah. Mungkin banyak lagi visi lain seperti melatih diri sebagai pemimpin, melatih disiplin menepati masa dan sebagainya. Pokoknya niat ialah satu aspek, visi merupakan penjelasan lanjut kepada niat yang asas itu.
Begitu juga dengan menuntut ilmu, secara ringkasnya boleh jadi kita menuntut ilmu juga sebagai jambatan menuju redha Allah, kerana kriteria asas ibadah perlulah bermula dengan ilmu. Apabila kita faham akan niat kita yang pertama tadi, maka harus difikirkan bagaimana untuk menuju redha Allah? Maka kembangkanlah dari niat yang asal tadi dan membentuk visi yang jelas bagaimana menuju redha Allah.
Maka terpulanglah kepada setiap individu membentuk visi masing-masing, boleh jadi seseorang itu meletakkan visi menuntut ilmu sebagai suatu persiapan diri untuk menjadi pemimpin ummah, penyelesai masalah, jurubicara dan pendidik. Pokonya carilah visi anda dalam apa jua perkara yang anda niatkan, 'Begin with End in mind' bak kata-kata Stephen R Covey di dalam bukunya 7 Effective Habbit of Highly Succesful People.
2.Secara prinsipnya, di dalam apa jua pekerjaan haruslah kita mempunyai mentaliti berkhidmat dan cuba menyelesaikan sesebuah masalah yang timbul. Kita perlu melatih minda kita untuk cepat melihat dan mengenalpasti masalah yang mana masih belum ada penyelesaian. Perlulah kita bersikap proaktif, kerana dalam menyelesaikan masalah yang belum ada penyelesaian adalah sebahagian dari fardh kifayah. Walaubagaimanapun haruslah sebarang apa yang ingin kita lakukan berpasakkan kepada realiti, iaitu kemampuan dari segi ilmu, kemahiran, kemampuan material, dan masa. Tetapi janganlah pula kita akur kepada realiti sehingga tahap kita selesa dengan status quo semata-mata.
Objektif yang SMART
1. Peter Drucker di dalam konsep "Management by Objectives" mengagaskan keperluan untuk sesebuah objektif memenuhi kriteria SMART, iaitu 'Specific' iaitu bermakna, jelas, dan difahami , 'Measureable' iaitu dapat diukur dan mempunyai KPI (key performance index - indeks kejayaan) , 'Achieveable' iaitu mampu dicapai , 'Realistic' iaitu berpijak kepada dunia realiti, dan 'Time Oriented' iaitu kita mempunyai rangka perlaksanaan, tempoh masa. Mungkin pada permulaan, sedikit sukar untuk difahami dengan lanjut apakah yang dimaksudkan dengan 'SMART'. Objektif dalam bahasa yang ringkas dapat difahami sebagai indikator khusus apa sesuatu perkara yang dapat diukur (KPI). Jika difahami, objektif berperanan untuk memberikan huraian lanjut agar visi itu lebih mudah dicerna,difahami dan bertindak ke atasnya, kerana boleh jadi visi umum dan memerlukan penjelasan yang lanjut. Maka KPI dapat di maksudkan dengan indikator-indikator tercapainya sesuatu objektif, boleh jadi ia telah diletakkan oleh seseorang, dan boleh jadi kita perlu meletakkannya sendiri.
2. Berbalik kepada dua analogi yang saya berikan tadi, solat dan menuntut ilmu.
Di dalam solat haruslah kita melihat apa KPI ( Key Performance Index) solat, bagaimana dikatakan solat itu mencapai kriteria solat yang sempurna. Seperti semua maklum antara komponen solat yang sempurna hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu akan solat yang betul, mengikut tertibnya dan diikuti dengan perasaan khusyu'. Maka dengan memahami KPI itu barulah kita boleh melakukan persiapan demi mencapai indikator tersebut.
Begitu juga dengan menuntut ilmu, apabila dikatakan visi dalam menuntut ilmu adalah sebagai persiapan menjadi pemimpin ummah, maka menjadi tanggungjawab untuk kita memahami komponen asas yang melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin ummah. Ia bermula dengan bertanya soalan seperti 'Apakah yang dimaksudkan dengan pemimpin ummah?' , 'Siapakah suri teladan yang dapat kita ambil yang menepati kriteria sebagai pemimpin ummah?' , 'Bagaimanakah kita dalam mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin ummah?'. Bagi saya antara ilmu asas seseorang yang mahu menjadi pemimpin ialah ilmu berkenaan kepimpinan, kemahiran komunkasi interpersonal, kemahiran mengurus dan juga kemahiran melatih. Namun sudah pastinya ilmu ini digabungkan dengan kekuatan akhlaq dan prinsip.
Khatimah
Niat dapat difahami dengan kita mempunyai sasaran yang jelas dan tahu apa kayu ukur yang ingin dicapai. Dari situ barulah kita mampu merancang bagaimana memenuhi kayu ukur tersebut. Dengan kita berjaya memenuhi kayu ukur tersebut secara tidak langsung ia akan menjawab objektif, sekaligus kita akan berjaya mencapai visi yang diletakkan. Semoga dalam apa jua apa yang ingin kita niat atau perjuangkan mempunyai arah tujuan yang jelas, hanyalah dengan kejelasan tujuan itu barulah kita dapat memaknai apa yang kita lakukan. Akhir kata latihlah diri kemampuan untuk berfikir, menyusun strategi dan menyelesaikan masalah.






No comments:
Post a Comment