Usai kepenatan membeli barang keperluan dari 'Aeon Big', aku mencari tempat duduk untuk melabuhkan pinggul.
Aku pun duduk, membuka plastik mencari roti sosej yang dibeli sebentar tadi. Mencapai roti dan menyuapkan roti sosej tersebut ke mulut.
Mataku memandang jauh, melepasi orang yang datang dan berlalu. Fikiran melayang memikirkan buku 'Islam dan Melayu' yang dicari namun sudah kehabisan stok di kedai buku 1 Malaysia sebentar tadi. Akhirnya aku membeli novel 'Nuasa Cita oleh Mohd Fadzil Yusof'. Entah apa yang menarik aku yang secara tiba-tiba membeli buku novel ini, apatah lagi aku bukanlah seorang yang kuat membaca novel. Mungkin apa yang menarik aku untuk membeli buku novel ini, adalah kerana aku terjumpa istilah 'weltanschaung' yang membawa maksud pandangan alam yang digunakan ketika sedang membelek-belek novel ini. Ada juga nama besar seperti Syed Hussein Alatas yang aku jumpai ketika menyelak-nyelak novel ini dengan laju.
Tanpa berlengah aku mencapai buku novel itu dan membuka helaian yang pertama dan membacanya. Bermula dari detik itu aku bagaikan diserap masuk ke sebuah dunia lain yang indah.
Aku sangat suka akan perasaan ini, iaitu perasaan seseorang yang berada di dunia lain di tengah-tengah kekalutan orang ramai. Dunia di mana aku seorang sahaja yang ada, tenang tanpa risau apa orang kata. Inilah dunia buku, fana' dalam dunia yang serba indah. Sebuah dunia yang jika boleh aku ingin setiap rakan-rakan ku merasainya namun tidak ramai yang mahu atas alasan tidak minat membaca. Mungkin mereka berkata sedemikian kerana mereka tidak pernah rasa manisnya dunia ini, alahai ruginya mereka.
Sedang aku meneliti baris-baris ayat di dalam novel itu tiba-tiba ada suatu suara yang menyapa aku.
Aku melihat muka akan sumber suara itu.
"Ada orang ka?" soal seorang lelaki Tiong Hua yang kira-kira berumur 50-an
" Tak ada, duduk duduk" jawabku sambil mempersilakan dia duduk
Aku menyambung pembacaanku lagi, namun tergangu oleh pernyataan lelaki Tiong Hua itu.
" Sikit punya besar itu TV" kata lelaki itu merujukkan kepada tv yang disorong di dalam troli menunggu giliran masuk ke lif
" Ya, memang besar" jawabku dengan sedikit ketawa
" 56 inch ada" sambungnya lagi
" Hmm, mana uncle tau? Rumah ada satu?"
Uncle itu hanya mengangguk, "Lebih kurang serupa, tapi tak ingat brand"
Aku hanya mengangguk, tidak tahu bagaimana untuk meneruskan perbualan.
" Uncle asal mana?" soalku
" Ampang sana" jawab uncle
" Eh, jauh mari kuantan. Ada apa mari sini?" soal ku kerana ingin tahu dengan lebih lanjut
" Saja mau jalan-jalan, shopping" jawab uncle dengan selamba
" Eh, jauh meh" aku berkata-kata meniru lenggok bahasa orang cina.
" Tak da lah, tiga jam saja kalau drive. Itu pun uncle drive perlahan-lahan stop rehat semua jadi lima jam" sambung uncle dengan panjang lebar
" Siapa datang sekali dengan uncle" soal aku lagi kerana ingin tahu lebih lanjut
" Isteri ada sekali, anak semua sudah besar , sudah ada cucu sorang" jawab uncle dengan penuh seronok.
" Owh, sudah umur berapa uncle? " soal ku lagi
" Ini tahun masuk 55 tahun" jawab uncle itu dengan senyuman
Benar aku tidak tahu bagaimana dari perbualan yang tidak disangka ini, uncle ini boleh menceritakan perihal keluarganya kepada seorang yang tiada dikenalinya langsung.
" Uncle ada kerja lagi ka? Ka sudah pencen" aku menyoal dengan lebih dalam dan pada ketika itu keinginan ku tadi yang ingin membca buku itu sudah beralih untuk berkenalan dengan lebih dalam dengan uncle ini.
" Sudah lama berhenti, uncle tolong-tolong isteri saja jaga pusat tuisyen" jawab uncle sambil mengangguk-angguk
"Maca mana bisnes? Bukan sekarang sudah tak ada PMR ka?" aku cuba mengorek samada pusat tuisyen itu menghadapi sedikit tamparan dek perubahan polisi pendidikan negara
" Hmm, ok la. . Tuisyen pun ada musim . Ada masa ramai, ada masa kurang " uncle cuba memberikan penjelasan
" Kira ok la, kalau ada lagi yang mau tuisyen" jawab ku
" Tapi ini sekarang banyak pening, kejap-kejap tukar" uncle ini bercerita dengan penuh emosi " asai menteri tukar saja, mau kasi tukar"
Aku hanya mengangguk tanda setuju.
" Ini hari ini macam, esuk itu macam, lusa ini macam pulak" sambil membolak balikan tangannya sambil menggeleng kepalanya
" Itu pasai la, cikgu pun pening wo" aku mengiyakan kata-kata uncle
" Itu dulu cikgu punya tugas mengajar, ini sekarang cikgu pening ikut itu kementerian punya ubah-ubah" sambung uncle lagi sambil menggelengkan kepala lagi.
" Itu patutnya menteri datang mai mengajar tengok, cuba buat dulu . . Kalau berjaya baru kasi cikgu ikut"
Benar inilah realiti yang dihadapi oleh negara kita sekarang, perubahan polisi itu berlaku terlalu cepat. Sepatutnya sebarang rombakan kepada sistem pendidikan sedia ada haruslah dilalui fasa-fasa pengkajian yang menyeluruh pada skala kecil-kecilan. Perlu ada 'test pilot' untuk melihat keberkesanan, kelemahan sistem baru yang ingin diterapkan. Perlu ada pengumpukan 'facts and figures' dan bukannya berasaskan agak-agakan, dan hanya selepas sebuah sistem itu benar-benar teruji dan segala kelemahan-kelemahan pada skala kecil itu diselesaikan barulah ia dijalankan pada peringkat nasional.
"Itu menteri pergi sana sini, tengok negara luar punya sistem. Lepas balik tau tiru-tiru saja. Mana boleh" uncle berkata dalam nada marah bercampur kecewa.
" Itu negara bejaya pasai apa? " soal uncle kepada ku lagi
Aku sedikit buntu memahami soalan yang ditujukan kepadaku agar dapat aku fikirkan jawapan yang sesuai.
" Itu negara luar punya sistem depa buat ikut cara sana la kan. Mana ikut suka-suka tiru" aku menjawab berdasarkan kefahaman yang sedikit yang aku peroleh ketika berbincang di sesi usrah yang lepas tentang hala tuju pendidikan malaysia.
" Betui, tengok jepun korea semua itu maju. Pasai apa?" uncle bertanyakan soalan retorik sebelum menjawabnya sendiri " Pasai model pendidikan sana ikut itu matlamat dan cara sana la, mana ada tiru-tiru"
" Betui, betui" aku mengiyakan lagi apa yang diperkatakan oleh uncle ini.
Tidak lama selepas itu isterinya menyusul dan uncle itu meminta diri. Aku bersalaman dengannya. Dia tersenyum, aku pun tersenyum.
Sesudah uncle itu beredar baru aku sedar sepanjang perbualan kami tadi, tiada kami tahu nama masing-masing.
Terfikir juga aku apa yang diperkatakan oleh uncle tadi lebih kurang sama maksudnya dengan apa diperkatakan oleh Dr Tariq Ramadhan dalam sebuah syarahan bersiri CILE yang bertajuk 'Education Ethics and Goals'.
Betapa kita ini terlalu teruja dengan pencapaian negara lain, sehinggakan kita meniru bulat-bulat apa yang dilakukan mereka. Terutamanya bila ada menteri-menteri yang keluar melancong atau melakukan lawatan rasmi, terlalu cepat mereka mengambil ilham akan polisi sesebuah negara dan ingin melaksanakannya di Malaysia. Benar niat mereka itu tidak dinafikan ada kebaikan, kerana mereka ingin Malaysia maju setaraf atau lebih baik lagi.
Namun pada hakikatnya mereka terlupa memikirkan, adakah apa yang dilakukan di luar sana apabila dilaksanakan disini akan memberi kesannya positif yang sama seperti yang di inginkan.
Di sini perlunya kita insaf dan sedar bahawa segala apa yang ingin kita lakukan hendaklah berdasarkan realiti atau waqi' sesebuah negara atau masyarakat. Mungkin ilmu penilaian sebeginilah yang perlu diterapkan kepada setiap para pentadbir dan pembuat polisi negara.
Itulah yang menghairankan aku, bagaimana seorang lelaki Tiong Hua yang bukan seorang yang memegang jawatan-jawatan besar dalam kerajaan boleh meliihat dan memahami akan perkara ini. Apakah perkara ini tidak dapat dilihat oleh 'The Decision Makers' negara kita. Di benak ku aku berbaik sangka, mungkin adakalanya perkara ini terlepas dari pandangan mereka.
Berbalik kepada polisi pendidikan, aku sangat bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Dr Tariq Ramadhan dalam syarahan yang sama.
" . . . . Very oftern we are duplicating the model but not asking about the substance and this is where I think we are facing a problem . ."
" . . . . But I think that when it comes to education, we have to be much more specific. All this is good and is right. We have the main principles but when it comes to dealing with our society, we are dealing with complex knowledges and very complex areas. We need to understand what we are teaching and what do we want to achieve in all these fields. So we have to be much more specific . . ."
" I think once again we can import the know how, we can import the models. I think that our main contribution today to should be to question the substance and to question the objectives"
Ya akhirnya ia berbalik kepada apa sebenarnya hala tuju yang ingin kita garapkan, dan hala tuju ini akhirnya akan berbalik kepada perbincangan akan falsafah pendidikan negara.
No comments:
Post a Comment